Sabtu, 17 April 2021

5 TUGAS UTAMA PENTADBIR HARTA PUSAKA




Saya banyak berjumpa dengan kes salah faham orang yang dilantik menjadi Pentadbir harta pusaka si mati yang beranggapan setelah beliau dilantik, beliau mempunyai kuasa veto dan berhak ke atas harta si mati.

PENTABDIR bukanlah pemilik. Beliau hanyalah pengurus harta sahaja dan bertugas untuk menyerahkan harta atau bahagian harta kepada waris yang sah sahaja. Walaupun sekiranya pentadbir adalah waris si mati, pentadbir tidak boleh berpandangan beliau lebih layak dari waris yang lain.

Bahagian beliau adalah terhad kepada apa yang diperuntukkan oleh faraid bagi orang islam sekiranya beliau waris.

Tugas utama Pentadbir adalah:

1. Mengenal pasti semua waris si mati yang layak menerima harta si mati.

2. Mengenal pasti hutang piutang si mati dan membayarnya terlebih dahulu sebelum membahagikan bahagian setiap waris.

3. Mengumpulkan semua waris yang sah dan membuat pengisytiharan harta si mati dari segi jumlah wang peninggalan, jumlah harta peninggalan, cara pembahagian mengikut faraid/ samarata. Jika ada wasiat, membahagikannya mengikut wasiat tertakluk kepada persetujuan waris.

4. Menguruskan harta si mati untuk diserahkan kepada waris yang sah.

5. Membahagikan bahagian atau harta si mati kepada setiap waris.

Sebagai Pentadbir, semua urusan ini perlu dilakukan secara telus dan adil bagi mengelakkan penganiayaan kepada waris.

Pentadbir tiada kuasa untuk membuat keputusan mutlak dan kuasa veto. Setiap pembahagian mestilah dibuat secara adil dan saksama sesama waris.

Pentadbir tiada hak mengambil apa-apa upah atau bahagian dari harta si mati untuk dirinya sendiri melainkan setelah dipersetujui oleh semua waris. Perkara ini terpakai kepada semua orang sekalipun harta si mati itu adalah harta suami/isteri/ayah/ibu si pentadbir itu sendiri.

Jika pentadbir merasakan beliau telah melakukan kesilapan atau kesalahan semasa menguruskan harta si mati, maklumkan kepada semua waris dan perbetulkan kesilapan tersebut sesegera mungkin serta pohonlah keampunan dan taubat dari Allah.

Jika anda (bakal si mati) tidak ingin melihat waris-waris anda bergaduh sesama mereka di masa hadapan kerana tidak faham/ tidak tahu menguruskan harta peninggalan anda, buatlah pengurusan harta anda sekarang supaya nasib waris-waris seperti isteri/ suami/ anak-anak nanti terbela dan waris-waris anda akan bersyukur kerana anda bijak menjaga hak mereka.

kredit FB : Farid Ikhwan Nasution
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...